Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan
Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke
Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.
Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”.
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.
Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan
terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di
dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya
bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan
masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan
melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa
seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi
Musa terkejut melihatnya.
Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu
dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke
dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa
pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan
dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan
penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. “Wahai saudara! Apa
agama kamu?”. “Aku agama Tauhid”, jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
“Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu.”
Kata Nabi Musa.
“Wahai tuan hamba”, kata pemuda itu. “Sebenarnya kedua babi itu
adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang
besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang
hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya
dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku
sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana
yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku
tetap melaksanakan tugasku.” sambungnya. “Setiap hari aku berdoa kepada
Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan
wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum
memakbulkan lagi.”, tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s.
‘Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga
nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya.
Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh
itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak yang soleh disisi Kami.”
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : “Oleh kerana dia telah
berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya.
Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami
pindahkan ke dalam syurga.”
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa
ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga
hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga
ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa
kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu
bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih
sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan
urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya
kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat
yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di
alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui
hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya
ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik
di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment